Lagi kejadian siling runtuh di Putrajaya
Oleh Habibah Omar
PUTRAJAYA 28 April – Selang 17 hari selepas kejadian paip bocor di Ibu Pejabat Imigresen di sini, kejadian serupa berlaku lagi hari ini. Kali ini melibatkan Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi apabila paip perenjis air kebakaran pecah sehingga meruntuhkan siling dewan itu.
Dalam kejadian pukul 7 pagi, tiga perempat daripada siling di dalam dewan itu dibasahi air setelah paip itu pecah. Rangka-rangka keluli runtuh bersama siling.
Dewan yang terletak di bahagian podium itu mampu memuatkan kira-kira 600 hingga 800 orang dan dijadikan tempat untuk penganjuran majlis-majlis serta perhimpunan bulanan kementerian tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Pemangku Supritendan Abdul Razak Abdul Majid, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11 pagi oleh pihak keselamatan di situ.
Punca kejadian itu, katanya, masih disiasat.
‘‘Siling dewan serbaguna kementerian itu runtuh disebabkan paip perenjis pecah sehingga semuanya basah termasuk permaidani, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,’’ katanya di sini.
Sementara itu tinjauan di bangunan kementerian itu mendapati beberapa lori digunakan untuk mengangkut rangka keluli, siling dan permaidani yang basah namun wartawan dan jurugambar dilarang memasuki kawasan berkenaan.
Pintu masuk ke kementerian setinggi 15 tingkat itu dikunci dan dikawal rapi oleh pengawal keselamatan sama ada dari arah belakang atau pintu utama.
Setakat pukul 6 petang ini, kerja-kerja pembersihan giat dijalankan oleh lebih 20 pekerja.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berpindah ke bangunan itu dari Medan Mara, Jalan Raja Laut pada 2005.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi menyatakan beliau telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan masih menunggu laporan penuh mengenainya.
Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Projek Putrajaya Holdings, Mohd. Najmuddin Mat Daud ketika dihubungi pula memberitahu beliau tidak mengetahui mengenai kejadian itu dan belum menerima laporan mengenainya.
‘‘Saya tak tahu, belum terima laporan,’’ katanya.
Menurut Mohd. Najmuddin, bangunan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu telah habis tempoh jaminan.
Putrajaya Holdings ditubuhkan pada 19 Oktober 1995 sebagai pemegang konsesi utama, pemilik tanah dan pemaju induk Putrajaya. Ia telah diberikan 90 daripada 150 geran tanah untuk pembangunan.
Kejadian hari ini merupakan yang ketiga seumpamanya berlaku di Putrajaya selepas yang pertama melibatkan tanah runtuh berhampiran salah sebuah blok kediaman di apartmen kuarters kerajaan di Presint 9 pada 22 Mac lalu.
Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan lebih 1,200 penghuni di apartmen tersebut bertempiaran lari meninggalkan kediaman masing-masing sementara 29 buah kenderaan yang diletakkan di kawasan kejadian itu tertimbus.
Sementara dalam kejadian kedua pada 11 April lalu, operasi Ibu Pejabat Imigresen di sini lumpuh apabila berlaku kebocoran paip air di tingkat tujuh, melimpah hingga ke tingkat bawah.
Kebocoran itu dipercayai berlaku sejak pukul 2 pagi dan menyebabkan lebih 3,000 orang yang mahu berurusan di situ terpaksa diarahkan ke pejabat cawangan di Kajang, Shah Alam, Wangsa Maju, Kelana Jaya dan Subang.