Gengster: Timbalan menteri, taikun disiasat
KUALA LUMPUR 24 Jun – Seorang timbalan menteri dan seorang tokoh politik kanan yang juga taikun di Sarawak sedang disiasat polis kerana dikatakan terlibat dalam kegiatan gengster, pembalakan haram dan percubaan merasuah pegawai-pegawai kanan polis.
Kedua-dua lelaki itu, dalam usia lewat 50-an dan 60-an, bergelar “Datuk”.
Bernama difahamkan satu pasukan dari ibu pejabat polis Persekutuan di Bukit Aman ditugaskan menyiasat.
Taikun itu, pemimpin peringkat cawangan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri disyaki cuba merasuah polis bagi mendapatkan pembebasan seorang ketua samseng dalam tahanan polis di Sarawak.
Ketua itu dikenali di kalangan dunia jenayah sebagai Le Long, dikatakan ada kaitan dengan penculikan seorang musuh perniagaan.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan ketika polis menyerbu rumahnya di Oya Road di Sibu kira-kira 3 pagi 27 Februari.
Penangkapannya adalah hasil siasatan polis ke atas penculikan itu, dalam mana enam orang kuatnya diberkas tiga hari lebih awal.
Siasatan awal menunjukkan enam orang itu ada kaitan dengan penculikan seorang bernama Kueh Chion Huat yang dikurung dalam sebuah rumah antara 6 dan 23 Februari.
Mangsa yang disiksa semasa ditawan, dibebaskan bila bapanya dilaporkan membayar tebusan RM100,000, kira-kira RM20,000 kurang dari apa yang dituntut oleh penculik.
Ketua itu, disifatkan oleh polis Sarawak sebagai mempunyai hubungan dengan kongsi gelap “Wah Kee” yang berpangkalan di Semenanjung, kini ditahan di penjara Sibu, menunggu kes penculikannya didengar di Mahkamah Tinggi.
Pengarah CID Persekutuan Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketika diminta mengulas mengenai laporan penglibatan beberapa orang ahli politik Sarawak dalam kongsi gelap, berkata: “Pasukan khas kami sedang memerhatikan perkara itu dan melakukan siasatan menyeluruh.
“Ini hal rumit, jadi kami tidak dapat mendedahkan banyak mengenainya.
“Kami mempunyai strategi dan jaringan untuk mengendali hal tersebut,” ujarnya.
Wan juga berkata, “Ops Cantas Kenyalang,” operasi khas untuk menghapus gengsterisme di Sarawak, masih berjalan.
“Kami mahu pastikan Sarawak bebas dari gangsterisme dan kami yakin operasi ini akan berjaya,” kata beliau.
Polis berjaya melumpuhkan 17 kongsi gelap yang aktif di Sarawak, dengan penangkapan 84 ketua dan anggota geng, sejak “Ops Cantas Kenyalang” dilancarkan pada April.
– Bernama