Blog EntryBintang Kecil: Kain Putih yang dicelup hitamJul 21, '07 4:23 AM
for everyone
Nabi saw bersabda, bermaksud: 'Anak kecil itu dilahirkan dalam keadaan
fitrah. Ibubapanya yang membentuknya menjadi Yahudi, Nasrani atau
Majusi.'


Mengapa tidak disebut Islam dalam hadis di atas? Ada ulama yang
menyatakan bahawa jika dibiarkan anak itu membesar dalam keadaan sendirinya,
mereka akan mencari Allah dan petunjuk Islam kerana Islam itu adalah
fitrah semulajadi manusia. Tetapi Nabi saw menyebut: "Ijtaalat hum
usSyayatin' (Syaitan yang menyesat dan menyelewengkan mereka).


Siapakah Syaitan itu? Allah berfirman, bermaksud: " ..yang mewas-waskan
dalam hati manusia, dari kalangan Jin dan manusia." Syaitan dari
kalangan jin adalah jelas. Di kalangan manusia pula, mereka yang bersifat
Syaitan adalah manusia yang menyesatkan manusia lain dari jalan Allah


Justru, tak pelik jika sekiranya ibubapa juga boleh menjadi syaitan
terhadap anaknya. Syaitan yang bagaimana? Nabi memberitahu bahawa
anak-anak adalah seperti kain putih. Ia bersedia menerima apa-apa warna yang
dicelup kepadanya. Biru yang dicelup, birulah ia. Hijau yang dicelup,
hijaulah ia. Hitam yang dicelup, hitamlah ia. Pendek kata warna yang
dicelup kepada kain putih tadi amat penting untuk memastikan warna terbaik
bagi kain tersebut.


Allah mengingatkan kita, bermaksud: 'Celupan Allah. Siapakah yang lebih
baik celupannya dari celupan Allah. Dan kami menjadi hamba kepadaNya.'
Celupan Allah tentu Islam. Celupan Allah bererti kita mesti mendidik
anak-anak itu supaya kembali kepada fitrah semulajadinya iaitu Islam.
Perkenalkan mereka dari kecil tentang Allah, ajarkan mereka Quran,
biasakan mereka dengan solat, tutup aurat dan adab. Perkenalkan mereka
tentang dosa pahala. Moga-moga mereka dicelup dengan celupan sebenar.


Malangnya, menjadi budaya yang bercanggah dengan Islam apabila
anak-anak tadi dibesarkan menurut cara yang bukan diperintah oleh Allah. Quran
diganti dengan menyanyi. Hafal lagu lebih penting dari hafaz ayat-ayat
Quran. Diajar bermain piano menggantikan mengenal solat. Berfesyen
mendedahkan aurat  menggantikan adab menutup aurat. Pendek kata kita
membesarkan anak-anak dengan cara yang boleh merugikan kita sendiri-dunia dan
Akhirat.


Sesetengah ibubapa mahukan anaknya cepat menjadi glamour, cepat kaya
melalui publisiti dan gaya hidup yang cukup mudah diraih tanpa banyak
usaha. Cara tersebut antaranya dilatih menjadi selebriti, artis dan
orang-orang popular cara instant. Tetapi pernahkah ibubapa ini terfikir kesan
jangka masa panjang tentang keinginan yang salah itu?



Apalah yang boleh diberi syafaat oleh si anak yang menjadi artis
popular, selebriti glamour atau bintang handalan di Akhirat kelak untuk
ibubapanya? Dirinya sendiri belum tahu untung nasib, sementelah pula mahu
menolong orang lain. Bahkan terkadang menjadi musuh pula walaupun
terhadap ibubapa dan anak-anak sendiri. Tetapi anak yang hafaz Quran,
insyaAllah bukan sahaja boleh membantu dirinya, bahkan ibubapa dan kaum
keluarga. Demikian juga anak yang mati syahid, yang alim dan yang soleh.



Nabi saw berpesan bahawa di antara amalan yang boleh memberi manfaat
kepada kita selepas mati ialah anak soleh yang mendoakan untuk
ibubapanya. Kalau kita didik anak-anak dengan celupan Allah, insyaAllah kita
tidak akan menyesal nanti. Pahala sentiasa datang kepada kita selepas mati
melalui doa dan amalan anak-anak kita. Tetapi jika kita tersalah
mendidik mereka, tentunya penyesalan kita tidak akan sudah. 'Menyesal dahulu
pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.'


Dan tentunya untuk mendidik anak-anak dengan celupan Allah ini
datangnya dari kesedaran ibubapa, kefahaman yang jelas tentang Islam, kecaknaan
tentang implikasi baik dan buruk hasil didikan mereka.

Jangan jadi seperti Anakku Sazali, yang menyesal dengan salah didikan.


Dunia moden memang cukup mencabar ibubapa. Tetapi cabaran itulah yang
mesti ditempuhi-mahu atau tidak-supaya amanah dari Allah itu tidak
dipersiakan.

Dunia ini pentasnya,
Padang Mahsyar itu tempat pengadilannya,
Allah itu hakimnya,
Syurga atau Neraka itu trofinya.


Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help