Blog EntryKeganasan polis: Lima digantung kerjaMay 8, '08 3:56 AM
for everyone

Keganasan polis: Lima digantung kerja

08/05/2008 3:49pm

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat (AS) 8 Mei – Babak rakaman yang menunjukkan keganasan polis terhadap orang awam di bandar terbesar Pennsylvania ini telah membawa kepada penggantungan tugas seorang sarjan dan lima lagi anggota lain semalam.

Berbelas anggota polis terlibat dalam serangan ke atas tiga orang suspek kejadian tembakan setelah kenderaan yang dinaiki mangsa ditahan.

Pesuruhjaya Polis, Charles Ramsey menjelaskan bahawa pasukan penyiasat sedang menganalisis pita video berkenaan untuk menentukan berapa ramai sebenarnya terlibat dalam insiden tersebut.

“Kami amat bimbang dengan apa yang ditayangkan dalam pita video itu. Ia tidak dapat diterima,” kata Ramsey.

Tambahnya, sebarang maklumat akan dihantar kepada pendakwa raya yang menentukan pendakwaan.

Polis menahan kereta suspek semasa menyiasat kes tembak-menembak pada malam Isnin lalu tetapi tiada senjata ditemui di dalam kereta tersebut.

Anggota polis yang terlibat bagaimanapun mendakwa ketiga-tiga suspek dilihat telah menembak tiga orang dalam pertelingkahan mengenai dadah sebelum itu.

Rakaman udara yang dibuat oleh WTXF-TV dengan menggunakan helikopter itu menunjukkan tiga kereta peronda polis menahan sebuah kereta di bahu jalan sebelum menarik keluar mangsa.

Dua daripada mereka dibaringkan sebelum ditendang berulang kali sementara seorang lagi ditumbuk dan diserang dengan baton.

Ketiga-tiga mereka – Dwayne Dyches, Brian Hall dan Pete Hopkins – masing-masing didakwa atas kesalahan cubaan membunuh dalam kes tembakan tersebut.

Ramsey menjelaskan, anggota polis kini berasa tertekan kerana seorang rakan setugas mereka, Sarjan Liczbinski terbunuh dalam satu rompakan pada Sabtu lalu. – AP


Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help